oleh :
NUR ILLYANI BINTI MOHD HAFIZ
1.0 PENGENALAN
Sebuah
artikel bertajuk Penguasaan Guru dalam ICT diutamakan – TPM telah diterbitkan
oleh Utusan Online bertarikh 13 Januari 2010. Memetik daripada petikan
tersebut,
Malaysia
yakin penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah mudah dilaksanakan dengan
penumpuan kepada penguasaan di kalangan guru-guru. Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendedahan melalui kursus berterusan kepada
pentadbir sekolah, pengetua dan guru-guru dalam mewujudkan golongan celik
komputer telah menunjukkan kesan ketara kepada perkembangan ICT di Malaysia.
Petikan
tersebut jelas menyatakan tentang pentingnya seorang warga pendidik menguasai
bidang teknologi maklumat dan komunikasi.Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Teknologi
Maklumat dan Komunikasi ialah teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan,
penyimpanan, pem-prosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi
komputer dan tele-komunikasi.ICT adalah singkatan daripada ‘Information and
Communication Technology’ (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) yang bermaksud
merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data yang berkaitan
dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat.Ruang lingkup
tajuknya sangat luas berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan
maklumat.Secara tepat dan mudah penggunaan komputer dan perisian untuk
mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan
maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
Manakala menurut Senn (1998) dalam Norasiah
(2009) menyatakan teknologi maklumat dan komunikasi mengandungi tiga komponen
iaitu komputer, komunikasi dan tahu-guna.Gabungan ketiga-tiga komponen ini
mencipta peluang kepada manusia dan organisasi untuk lebih produktif, berkesan
dan berjaya. Jika dilihat pada sekeliling kita, TMK tidak lagi digunakan
sebagai penyebar maklumat malah dalam semua bidang seperti pengiklanan,
pengangkutan, perubatan, perniagaan keselamatan dan sebagainya.Sebenarnya
teknologi maklumat tidak tertumpu hanya kepada internet dan komputer tetapi
merangkumi televisyen, telefon, telefon mudah alih, faks, telegram, PDA dan
sistem satelit dalam menyampaikan maklumat.
Dapat dilihat pelbagai manfaat dan faedah
yang boleh diperoleh dalam penggunakan kemudahan ICT.Guru seharusnya mengambil
kesempatan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara optimum dalam
proses pengajaran dan pembelajaran seharian. Menurut Mok Soon Sang (1996), ‘penggunaan
komputer dalam bidang pendidikan membawa satu reformasi serta perkembangan
baharu dalam bidang pendidikan. Ini khasnya dalam teknologi pendidikan, teori
pendidikan, teori-teori pengajaran-pembelajaran, pengurusan sekolah, sistem
pentadbiran pendidikan serta kemahiran dan latihan guru.Seperti yang kita lihat
pada hari ini, Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) telah
mencapai suatu tahap di mana pengaruhnya dapat dilihat dalam kehidupan manusia
terutamanya di kawasan bandar. Kemudahan teknologi telah menjadi sebahagian
daripada cara hidup contohnya kemudahan telekomunikasi (telefon bimbit),
perkhidmatan bank (e-banking. Kad ATM), dan sebagainya.Masyarakat juga
diharapkan mampu menangani kehidupan di era teknologi maklumat sehingga pada
satu tahap teknologi tersebut menjadi sebahagian daripada amalan biasa tanpa
kita sedari.Namun begitu cabaran yang paling besar ialah mendidik masyarakat
agar menggunakan teknologi secara berfaedah dan bermanfaat.Oleh itu, profesion
keguruan harus memperlengkapkan diri secara global dalam perkembangan penggunaan
teknologi maklumat dalam kurikulum di sekolah.
2.0 PROFESION DAN PROFESIONALISME
KEGURUAN
Setiap
tahun permohonan kemasukan Kursus Pendidikan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia
meningkat dari semasa ke semasa.namun begitu tempat yang ditawarkan amatlah
terhad. Merujuk Utusan Online bertarikh 17 Ogos 2012 hanya 1,138 orang shaja
terpilih untuk mengikuti KPLSPM ambilan Jun 2012.
Bagi memastikan profesionalisme pendidikan
guru berada di landasan yang betul dan dijamin kualitinya, pihak Kementerian
Pendidikan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan mewajibkan bakal guru serta
guru terlatih menjalani pelbagai kemahiran baharu sesuai dengan arus
globalisasi.Para guru pelatih dipastikan menguasai bidang teknologi maklumat
dan komunikasi terutamanya. Kebanyakan tugasan yang diberikan juga
mengkehendaki guru pelatih menggunakan kemudahan ICT contohnya pembentangan
tutorial ‘Power Point’, tugasan ‘'Independent Self Learning’ (ISL) dan
tugasan projek.Dalam melaksanakan tugasan-tugasan ini, para guru pelatih
digalakkan mencari bahan dalam pelbagai sumber terutamanya di internet,
merupakan sebuah sumber bahan yang tidak terhad.Malah syarat untuk
memperolehkeputusan cemerlang dalam menjalani praktikum di sekolah ialah,
menerapkan TMK dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Selain itu para guru
pelatih juga diwajibkan mengambil subjek EDU 3106, Teknologi dalam Pengajaran
dan Pembelajaran. Usaha-usaha ini adalah penting bagi memastikan para guru
pelatih bukan sahaja menguasai bidang Teknologi Maklumat dan komunikasi(TMK) ,
malah mengaplikasiannya dalam bidang pendidikan terutamanya semasa proses
pengajaran dan pembelajaran dijalankan.
Artikel yang bertajuk Penguasaan Guru dalam
ICT diutamakan turut menyelitkan
kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha
meningkatkan kesedaran dan kreativiti dalam kalangan guru dan murid dalam
penguasaan ICT. Berikut kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau.
‘Menurutnya,
kajian British Commonwealth Group (BCG) 2008 dengan kerjasama Unit Perancang
Ekonomi (EPU) berkaitan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia menunjukkan
wujudnya peningkatan kesedaran dan kreativiti di kalangan guru dan murid dalam
penguasaan ICT.’
Kenyataan
oleh Timbalan Perdana Menteri tersebut menunjukkan usaha-usaha kerajaan dalam
memastikan hasrat Malaysia untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun
2020 dapat dicapai.Buktinya kerajaan telah membangunkan teknologi maklumat Koridor
Raya Multimedia (MSC) yang telah menjadi pusat telekomunikasi dan penyiaran
serantau. Hal yang sama juga berlaku dalam kurikulum pendidikan di negara ini,
apabila komputer dijadikan satu kurikulum di sekolah. Penubuhan sekolah bestari
yang berteraskan penggunaan komputer merupakan salah satu bentuk kurikulum yang
memerlukan profesion keguruan mengetahui dan menguasai teknologi maklumat.Seperti
yang kita lihat kurikulum KBSR telah dikaji lalu menggantikan kurikulum yang
baru iaitu KSSR bermula dari darjah 1 tahun 2011. Kurikulum ini telah dikaji
agar ianya bersifat holistik dan
sentiasa relevan bagi melahirkan modal insan seimbang yang dapat menangani
cabaran semasa dan masa depan. Oleh yang demikian, tema Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK) telah dimasukkan di dalam KSSR.Hal ini penting supaya murid
bukan sahaja menunjukkan penguasaan dalam kemahiran 3M dan menaakul, malah
turut menguasai kemahiran asas dalam TMK.
‘Malaysia
mempunyai banyak inisiatif termasuk video pendidikan melalui web, EduWeb TV,
dengan 9,331 sekolah mempunyai akses kepada lapan saluran projek School-Net
melalui jalur lebar bagi mengurangkan jurang digital antara penduduk luar
bandar dan bandar.’
Berdasarkan petikan di atas dapat diketahui
pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan bagi menerapkan penggunaan
ICT dalam pendidikan.Hal inimemastikan masyarakat Malaysia tidak ketinggalan dalam
arus pemodenan selaras dengan perkembangan dunia teknologi yang semakin
pesat. Guru seharusnya berkemahiran
dalam mengendalikan kemudahan-kemudahan ICT yang telah disediakan di sekolah. Oleh
itu, guru yang profesional seharusnya peka terhadap segala perkembangan dalam
bidang pendidikan.Craft (2002) dalam Ismail dan Subki (2010) menyarankan
seseorang yang pendidik yang profesional,seseorang guru perlu peka terhadap
insiatif pendidikan yang terkni. Mok
Soon Sang (2007), menegaskan guru hendaklah melengkapkan diri dengan menguasai
kemahiran menggunakan Internet untuk memperoleh maklumat tentang perkembangan
pedagogi pengajaran masa kini di samping membimbing murid menggunakan Internet
sebagai bahan dalam P&P. Guru profesional perlulah mengaplikasikan teknologi
maklumat ICT di dalam bilik darjah melalui program SLE (Smart Learning
Environment) yang bertujuan meningkatkan pengetahuan guru terhadap penggunaan
ICT. Menurut Ragbir Kaur a/p Joginder Sigh (2007), antara aplikasi yang boleh
digunakan ialah word processing,
spredsheet, database, desktop publishing, dan graphing.
3.0 PERKEMBANGAN PROFESIONALISME
GURU
Setelah
menamatkan pengajian di Institut Perguruan, universiti atau institusi
pendidikan yang berkaitan, para guru seharusya tidak menganggap mereka tidak
perlu lagi proses pembelajaran dan penyediaan guru telah sempurna. Ini kerana,
pendidikan praperkhidmatan keguruan adalah satu proses awal penyediaan diri
dengan ilmu dan kemahiran yang menjadi prasyarat profesion keguruan. Kejayaan
serta kelestarian seseorang guru dalam kerjayanya antara lain bergantung kepada
kesediaan guru berkenaan untuk terus memajukan diri dan profesionalisme melalui
pelbagai aktiviti dan program pendidikan
sama ada secara formal, informal mahupun informalmahupun nonformal. Guru
akan berhadapan sama ada pelbagai bentuk perubahan sama ada di dalam atau di
luar profesionnya. Antara tuntutan dalaman ialah kesediaan guru untuk mencuba
pelbagai teknik, kaedah serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang
efektif di samping menghadapi perubahan dari segi istilah, kandungan kurikulum
serta penggunaan teknologi baharu
Ismail dan Subki (2010) menyenaraikan 9
Perkembangan Profesionalime guru; Pembelajaran Sepanjang Hayat. Akses maklumat
pelbagai sumber merupakan salah satu perkembangan yang disenaraikan.Terdapat
pelbagai langkah dalam menarik minat murid untuk menerima ilmu. Guru boleh
mendorong mereka dengan menjadikan masa belajar sebagai masa yang penuh
keseronokan dengan memberi peluang kepada murid untuk akses maklumat dari
pelbagai sumber supaya pembelajaran menjadi lebih menarik dan kondusif. Hal ini
jelas membuktikan bahawa disamping menguasai isi kandungan sesuatu mata
pelajaran guru juga mesti berusaha memantapkan dirinya dengan menguasai
perisian-perisian komputer dan mengaplikasikannya semasa pengajaran
pembelajaran demi untuk meningkatkan kualiti pendidikan bagi menjana modal
insan di sekolah.
Menurut
Timbalan Perdana Menteri lagi, ‘makmal komputer juga dibina di 6,633
sekolah.Pusat akses Internet sekolah dengan konsep kafe siber diwujudkan bagi
kemudahan murid mencari maklumat di 3,029 sekolah di luar Bandar.
Kewujudan
makmal –makmal komputer ini memberi lebih banyak peluang dan ruang kepada guru
untuk mendapatkan bahan-bahan yang sesuai. Guru yang cemerlang akan berusaha menjadikan
bahan-bahan ini sebagai tutor dan demonstrasi semasa pengajaran dan
pembelajaran.Selaras dengan pembestarian sekolah, aktiviti pengajaran dan
pembelajaran seharusnya membolehkan murid akses kepada pelbagai sumber
pembelajaran. Kebolehan akses kepada pelbagai sumber pembelajaran akanmembolehkan
seseorang murid dilibatkan secara langsung untuk berinteraksi dan bermuafakat
dengan rakannya demi mencapai perkembangan maksimum mengikut potensinya.Guru
perlu mempelbagaikan sumber pembelajaran supaya murid dapat melaksanakan setiap
aktiviti pembelajaran dengan lebih berkesan. Antara aktiviti yang boleh
dilakukan dalam situaasi pengajaran dan pembelajaran ialah:
i.
Mengenal pasti pelbagai
sumber pengetahuan yang dicapai dalam sekolah bestari.
ii.
Mempertingkatkan kelemahan
dan kekuatan sumebr pembelajaran yang dikenal pasti.
Berdasarkan
kriteria yang dikenal pasti, terdapat pelbagai sumber yang boleh digunakan oleh
guru untuk membolehkan murid mendapatkan maklumat yang berkaitandengan
pembelajaran yang sedang diikutinya.Antara sumber pembelajaran yang sesuai dan
boleh diakses oleh murid ialah sumber berasaskan komputer.
Berdasarkan
Rajah 1, terdapat 5 sumber berasaskan komputer. Sumber-sumber ini amat
fleksibel dan mudah untuk dikemaskinikan.Penggunaan sumber ini melibatkan multimedia.Jaringan
bahan adalah tidak terhad dan melibatkan sumber yang canggih.Sumber juga
bersifat ‘user friendly’. Bahan
beraskan komputer atau teknologi maklumat boleh dikemaskinikanpada bila-bila
masa mengikut keperluan
1.0 KEBAIKAN DAN KEPENTINGAN TEKNOLOGI
DALAM PENDIDIKAN
Kehadiran
teknologi maklumat merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan dan profesion
keguruan. Menurut Norhashim (1996) dalam Syed Ismail (2010), penggunaan TMK
dalam bidang pendidikan memberi kesan besar dan bermakna terhadap kualiti
pembelajaran seperti memudahkan penghasilan bahan-bahan pengajaran secara lebih
efisien, membenarkan pendidikan menyediakan pendekatan pengajaran baru yang
lebih efektif, memudahkan penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan
pembelajaran seperti multimedia, simulasi serta membuat aktiviti kumpulan
menerusi aplikasi sistem rangkaiannya.
Selain itu, tugas mendidik menjadi mudah,
cepat dan berkesan dengan adanya teknologi maklumat.Seluruh dunia telah menjadi
seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini.Keupayaan
menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas.Penerimaan
ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dengan pelajar sahaja, malah
dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani
batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya
yang disiarkan melalui iklan di surat khabar menjelaskan hakikat ini. Iklan
tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami
akan menghantar guru ke rumah anda!”Iklan tersebut memaparkan gambar seorang
budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu
pergi ke sekolah.Begitulah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang
pendidikan.
Dengan adanya TMK juga, pendidikan jarak jauh
dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Pembelajaran
jarak jauh dapat digunakan sebagai salah satu cara yang lebih efektif untuk
mengatasi masalah yang wujud akibat pendidikan secara konvensional. Melalui
pembelajaran ini, pelajar hanya perlu berhubung melalui teknologi atau saluran
online yang disediakan oleh pihak kampus tersebut.Pembelajaran secara online
ini memerlukan pelajar berhubung dan berinteraksi dengan pengajar dan pelajar
dengan pelajar dalam sebuah kumpulan yang kecil.Pembelajaran ini memerlukan
pelajar memberi komitmen, kerjasama, perhatian yang sepenuhnya terhadap segala
kemudahan dan bentuk pembelajaran yang dsediakan.Tenaga pengajar dan pelajar
boleh berkomunikaasi mengikut kesesuaian masa mereka dengan menggunakan media
elektronik.Antara media yang boleh digunakan dalam pendidikan jarak jauh ialah
televisyen, Internet, siding video, ‘chatting’
dan forum elektronik. Menurut Ismail dan Subki (2010), terdapat lima cara
pengendalian pembelajaran jarak jauh, antaranya adalah seperti berikut:
i. Pengedaran
bahan melalui pos.
ii. Menduduki
peperiksaan di pusat tempatan.
iii. Mengendalikan
proses pembelajaran melalui pelbagai alat penghantaran.
iv. Pengedaran
bahan dalam bentuk bercetak rakaman, disket ke pusat-pusat sumber untuk
dipinjam oleh murid.
v. Mengadakan
sidang video dan menggunakan Internet untuk berkomunikasi.
Berdasarkan
langkah pembelajaran jarak jauh yang dinyatakan di atas tadi, jelaslah bahawa
penggunaan TMK amat bermanfaat dalam pembelajaraan seseorang murid. Justeru
itu, sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal
persekolahan dan pada masa yang sama menggunakan teknologi maklumat untuk
menjayakan pembelajaran mereka. Hal ini adalah penting supaya murid mempunyai
kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat atau cara
konvensional sesuai dengan keadaan tertentu. Namun begitu, kita tidak harus
bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu
berinteraksi tanpa komputer.
Di samping itu, Teknologi Maklumat dan komunikasi (TMK) dapat
membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan
perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya.
Hakikatnya TMK sangat membantu dan menolong mereka (pengurus sekolah) untuk
berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah, cepat dan membuat keputusan yang
baik yang melibatkan maklumat, proses dan kerja seperti pendaftaran pelajar,
pelbagai rekod, kawalan inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu
mengajar, hal yang berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya. Ini
bersesuaian dengan pendapat Laudon dan Laudon (1997) yang menyatakan sistem
maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen yang bersepadu yang mengumpul
dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang,
mengawal dan menganalis.
Dalam proses pengajaran pula, TMK dapat
dilihat sebagai alat pengajaran yang digunakan untuk membantu guru dalam
menyampaikan isi pelajaran kepada muridnya. Melalui TMK, ianya dapat membantu
guru dalam pengajarannya sekali gusdapat membantu murid di dalam proses
pengajaran dan pembelajaran untuk memperoleh ilmu. Ia bukan sahaja merupakan
penghubung antara guru dan murid, malah ia juga penghubung antara murid dan
murid. Menurut Kamaruddin dan Siti Hajar (2004), ‘bahan-bahan sokongan yang hendak digunakan itu janganlah terhad
kepada kapur dan papan tulis sahaja. Konsep peralatan mengajar sangat luas.
Selain bahan-bahan bercetak dan elektronik yang telah sekian lama digunakan,
guru harus mengorak langkah ke satu era baru dengan menggalakkan kemudahan
penggunaan internet, ICT, ‘webcity’,
email dan sebagainya yang merupakan cara-cara yang lebih maju dan lebih
berkesan.’ Penggunaan pelbagai alat ini dapat membantu mendorong pemahaman dan
minat murid di dalam pembelajaran mereka kerana ia merupakan penghubung antara
semua orang yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
2.0 KESIMPULAN
Oleh
kerana ICTbegitu memberi kesan kepada bidang pendidikan dan profesion keguruan,
maka sebagai seorang guru, kita perlulah menguasai kemahiran tersebut.Keperluan
perkembangan profesional guru dalam ICT haruslah dipertingkat dari semasa ke
semasa.Selain itu, sebagai tenaga pengajar dan agen perubahan di sekolah dan
alam pendidikan, para guru perlu memainkan peranan sebagai pengajar, pembimbing
dan inventor yang positif dan berkesan bagi menjayakan pelaksanaan sistem
teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah.Guru-guru mesti membuat persediaan
yang rapi baik dari segi mental (berfikiran terbuka, positif dan sanggup
menerima perubahan serta cabaran), sikap (ingin tahu dan belajar, berkeyakinan
diri, kreatif dan inovatif) mahupun dari segi fizikal (penggunaan ABM dengan
pengetahuan dan kemahiran TMK). Ini sejajar dengan nasihat yang diberikan oleh
Tuan Haji Hussin bin Haji Harun, Tuan Pengarah Pelajaran Perak, dalam Pendidik
Bestari: Bicara Bestari (2008): Keperluan tenaga abad ke 21 dicerakin dan
dilaksanakan melalui pembangunan potensi kemanusiaan secara bersepadu, memahami
aspirasi dan agenda nasional, menguasai sepenuhnya bidang ICT, mengamalkan
pembangunan penyelidikan (R&D), teknologi tinggi (high tech) dan pengurusan
kewangan mapan. Perlu juga dipersiapkan generasi ketiga yang berdisiplin,
berhemah tinggi, mempunyai jati diri, memiliki ciri-ciri kreatif, inovatif,
responsif, proaktif, progresif dan produktif, dalam menghadapi proses dan
cabaran globalisasi, menterjemah dalam bentuk realiti sebuah negara Malaysia
yang maju dalam acuan sendiri.
Sistem pendidikan sekolah di Malaysia
hari ini dikatakan dapat menyediakan pelajar-pelajar yang serba boleh bagi
menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Dari semasa ke semasa, kerajaan akan
sentiasa mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan.
Dalam keghairahan menggunakan teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus
berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak
terkawal. Walau apapun pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam
pengajaran dan pembelajaran sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak
pendidikan masa depan dan tingkah laku murid. Oleh itu, pengawalan dan
pengawasan yang rapi harus diberikan kepada murid semasa menggunakan teknologi
canggih ini.Didikkan awal dan penerapan nilai-nilai murni juga adalah penting
untuk melahirkan generasi bermaklumat yang bermoral. Sekiranya didikan
nilai-nilai murni telah ditanam di jiwa pelajar-pelajar, tidak akan berlaku
kesalahan atau jenayah komputer yang membimbangkan generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment